KUCHING, 30 Jun: Kerajaan Sarawak terus komited memperkukuh nilai budaya, pembangunan sosial dan perpaduan khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, nilai perpaduan dan semangat kekeluargaan perlu terus dipelihara demi memperkasa warisan budaya serta mengukuhkan hubungan antara rakyat dengan pemimpin ke arah pembangunan inklusif Sarawak.
“Saya menyeru agar semua yang hadir pada malam ini dapat meneruskan tekad dan usaha dalam memupuk perpaduan yang harmoni dan semangat kekeluargaan seterusnya memperkasakan usaha memelihara warisan budaya Dayak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ngiling Bidai Daerah Gedong 2025 di sini, malam tadi.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee.
Menurutnya, penyertaan penduduk 55 kampung merangkumi zon ulu, pangkor dan proper ke majlis tersebut mencerminkan semangat kerjasama serta perpaduan kukuh dalam kalangan masyarakat di daerah tersebut.
“Majlis ini bukan sahaja meriah dengan elemen warisan budaya tetapi turut memperlihatkan sokongan masyarakat terhadap perpaduan dan pembangunan sosial di wilayah ini,” ujarnya.
Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak juga merancang untuk terus memperkasa pembangunan luar bandar dengan memastikan kemajuan disalurkan secara menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi.
“Adalah penting untuk memelihara adat, budaya dan bahasa etnik agar tidak terpinggir dalam arus pemodenan,” jelasnya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, Residen Bahagian Samarahan, Irwan Bahari Bujang dan Temenggong Iban Bahagian Samarahan, Mohd @ Geoffrey Mamat Kuchai.-TVS