LIMBANG, 29 Jun: Seekor kucing dari Sarawak bernama Mr Kiron milik pasangan suami isteri, Sufian Mohat dan Siti Mariam Fadil berjaya mempertahankan gelaran pemenang kebangsaan selama tiga tahun berturut-turut dalam Pertunjukan Kucing Antarabangsa yang berlangsung di Thailand, baru-baru ini.
Kucing jantan baka Maine Coon berusia empat tahun dengan berat 13 kilogram itu menarik perhatian juri menerusi kejinakan, ketenangan serta sifat manja selain saiz badannya yang besar dan mengagumkan.
Menurut Sufian yang juga Pengerusi Majlis Daerah Limbang, Mr Kiron turut mencatat kejayaan membanggakan apabila memenangi anugerah persembahan terbaik dewasa dan terbaik dewasa dimandulkan (Best Neuter Adult) sekali gus meraih gelaran berganda Master GCPR.
“Mr Kiron mewarisi kejayaan bapanya, Mr Lloyd Kirbeaitycoon yang pernah menggenggam gelaran pemenang kebangsaan selama empat tahun berturut-turut,” katanya ketika ditemui pada Pesta Ria Limbang, hari ini.
Beliau berkata, Mr Lloyd yang kini berusia enam tahun turut memegang gelaran Master GCCH dan pernah dinobatkan sebagai kucing terbaik keseluruhan dalam pertandingan di Filipina tahun lalu.
Sufian berkata, seekor lagi kucing peliharaannya, Putra Aryan’s Kitkat juga mendapat perhatian juri dalam pertandingan sama.
“Walaupun wajah Mr Kiron nampak garang, dia sebenarnya sangat jinak dan mudah didekati. Dia antara lebih 60 ekor kucing Maine Coon yang kami pelihara di rumah di bawah perniagaan Putra Catnya di Kampung Sayong sejak tujuh tahun lalu,” ujarnya.
Pada Pesta Ria Limbang, Mr Kiron turut ditampilkan sebagai tarikan utama bagi menghiburkan pengunjung dan memberi peluang kepada peminat untuk bergambar.
Selain peminat tempatan dari Limbang dan Lawas, peminat dari Brunei juga tidak melepaskan peluang merakam kenangan bersama Mr Kiron iaitu kucing garang pada rupa, namun manja dan mesra dengan sesiapa sahaja. – TVS