DEBAK, 29 Jun: Pasukan Al Quthuz FC dari Sarikei muncul juara Karnival Bola Sepak 9 Sebelah Terbuka Bahagian Betong 2025 selepas menewaskan Aqib X Kampung Boy FC dari Sri Aman 1-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Padang Riveria, Debak hari ini.
Kemenangan itu membolehkan Al Quthuz FC membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta piala dan pingat.
Tempat kedua menjadi milik Aqib X Kampung Boy FC yang menerima hadiah wang tunai RM2,000, piala dan pingat.
Manakala tempat ketiga bersama disandang oleh Pusak United dari Pusa dan Tabau Legacy dari Saratok masing-masing menerima wang tunai RM1,000.
Hadiah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam.
Karnival selama dua hari bermula Jumaat lalu itu dianjurkan secara bersama oleh Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak yang menyaksikan penyertaan 27 pasukan dari seluruh Sarawak.
Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak, Lamat Nyalau, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Debak, Mohammad Khairurani Mohammad Ibrahim dan Temenggong Piee Alwi.-TVS