KUNAK, 29 Jun: Hasrat sembilan ahli Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) untuk pulang ke Kota Kinabalu selepas menghadiri Regata Lepa 2025 tidak kesampaian selepas van dinaiki mereka terbabas di Jalan Bukit Ular, Kunak–Lahad Datu pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, Pengerusi PMBS Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Yahamad Budin, 74, disahkan maut selepas tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.19 pagi sebelum menggerakkan enam anggota bersama jentera dan unit EMRS ke lokasi sejauh 40 kilometer dari balai.
“Siasatan awal mendapati van jenis Toyota Hiace dipercayai terbabas sendiri ke bahu jalan. Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas namun disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan.
Lapan lagi mangsa termasuk isteri dan anak Allahyarham mengalami kecederaan serta diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS dan KKM sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.09 pagi selepas kawasan disahkan selamat. – TVS