PASIR GUDANG, 29 Jun: Persatuan Penjaja Anak Sarawak Johor menyeru ahlinya agar memanfaatkan sepenuhnya platform media sosial untuk mempromosikan hasil kraf tangan dan makanan tradisional Sarawak secara dalam talian.
Pengerusinya, Josephine Jimbai berkata, langkah tersebut penting memandangkan operasi Pasar Borneo di Taman Megah Ria, Pasir Gudang hanya berlangsung tiga hari seminggu iaitu Rabu, Sabtu dan Ahad.
“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada jualan secara bersemuka di pasar. Media sosial memberi ruang lebih luas untuk menarik pelanggan termasuk mereka yang tidak berpeluang datang secara fizikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ngiling Bidai di Skudai pada Sabtu.
Josephine turut menggalakkan penjaja untuk mempelajari teknik pemasaran digital sebagai usaha meningkatkan kualiti promosi dan capaian jualan.
“Dengan strategi yang betul, ia bukan sahaja mampu menambah pendapatan penjaja malah memperkenalkan budaya Sarawak kepada komuniti lebih luas,” ujarnya.
Pasar Borneo Taman Megah Ria dilihat sebagai platform penting untuk mempromosikan produk tradisional Sarawak di Johor.
Namun, kekangan masa operasi menjadi cabaran yang perlu ditangani melalui pendekatan digital lebih strategik.
“Kita perlu bergerak seiring dengan teknologi. Media sosial adalah peluang yang tidak boleh dipandang ringan,” jelas Josephine.-TVS