KABONG, 28 Jun: Ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kabong diseru agar sentiasa menekankan semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan ahli parti demi memperkukuhkan sokongan akar umbi serta memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.
Ketua Cawangan PBB Kabong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, nilai tersebut amat penting dalam memperkasa perjuangan parti di peringkat akar umbi.
“Semangat ini harus kita tekankan secara berterusan dalam kalangan ahli PBB di Kabong. Ia penting untuk memastikan sokongan akar umbi kekal teguh, di samping memastikan kebajikan rakyat terus terbela,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Cawangan PBB N.40 Kabong di Bilik Mesyuarat Pusat Khidmat ADUN Kabong, hari ini.
Chee Kadir menjelaskan, mesyuarat tersebut merupakan sesi berkala bagi membincangkan hala tuju dan memperkukuhkan gerak kerja parti di peringkat cawangan.
“Antara agenda utama adalah pembentangan laporan daripada setiausaha, bendahari, ketua penerangan, ketua pemuda dan ketua wanita mengenai aktiviti-aktiviti terdahulu serta perancangan semasa,” ujarnya.-TVS