KUALA LUMPUR, 28 Jun: Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong optimis akta berkaitan kecerdasan buatan (AI) akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun ini.
Keyakinan itu disuarakan beliau selepas Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) berjaya digazetkan pada April yang lalu.
Menurut Wilson, sekiranya ia berjaya digubal, penyalahgunaan teknologi yang sepatutnya membawa manfaat dapat dicegah sekali gus menghalang ia daripada terus disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Akta Keselamatan Siber telahpun diangkat (dibentang) di Parlimen yang lalu dan telah diluluskan.
“Saya merasakan bahawa akta AI mungkin akan dibentangkan pada tahun ini. Ini membolehkan ia memperketatkan lagi undang-undang berkaitan AI.
“Ia akan memainkan peranan menghukum sesiapa sahaja yang secara salah menggunakan teknologi hingga membawa kerosakan kepada negara,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Gawai Kitai Ngiling Bidai 2025 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Wilson berkata, Kementerian Digital menggesa orang ramai yang menjadi mangsa penipuan dalam talian supaya segera membuat laporan dengan menegaskan bahawa pihak polis dan agensi CyberSecurity Malaysia sentiasa melakukan pemantauan sepanjang hari.
Menurut beliau, sindiket penipuan itu kini semakin licik dan aktif sepanjang masa, menyasarkan golongan pesara, penjawat awam dan penduduk luar bandar.
“Kita tidak mahu rakyat terus menjadi mangsa. Bayangkan, simpanan selama 20 hingga 30 tahun boleh lesap dalam satu panggilan telefon,” katanya.
Sehubungan itu, kata beliau, kementeriannya juga sedang melaksanakan kempen kesedaran melalui program Jelajah Jamin Malaysia Digital (JJMD) ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak bagi memberi pendedahan tentang taktik penipuan siber yang sering digunakan. – TVS