JAKARTA, 28 Jun: Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk mempercepat penyelesaian isu sempadan termasuk meneroka pendekatan pembangunan bersama kawasan maritim Ambalat secara strategik dan saling menguntungkan.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dalam sidang media bersama selepas pertemuan dua hala di Istana Merdeka, Jakarta sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Indonesia, semalam.
Prabowo berkata, kedua-dua negara berkongsi pandangan bahawa isu sempadan seperti Ambalat harus diselesaikan segera dengan memberi tumpuan kepada kerjasama ekonomi menerusi pendekatan Joint Development.
“Masalah ini harus segera diselesaikan demi kepentingan lebih besar. Secara teknikal mungkin memerlukan waktu namun kita boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara khususnya masyarakat di kawasan sempadan melalui kerjasama ekonomi,” katanya.
Beliau turut menekankan kemampuan Malaysia dan Indonesia untuk bekerjasama dalam meneroka potensi ekonomi Ambalat secara bersama.
Sementara itu, Anwar menyifatkan cadangan pembangunan bersama itu sebagai langkah pragmatik memandangkan proses rundingan sempadan rasmi berkemungkinan memakan masa lama.
“Kalau kita tunggu penyelesaian sepenuhnya, mungkin akan mengambil masa dua dekad. Jadi lebih baik kita manfaatkan masa ini untuk mendapatkan hasil yang memberi keuntungan kepada kedua-dua negara dan membela rakyat di kawasan perbatasan,” ujarnya.
Kedua-dua pemimpin bersetuju pendekatan Joint Development Authority (JDA) bukan sahaja berpotensi menjadi penyelesaian interim yang berkesan malah mampu memperkukuh hubungan dua hala secara keseluruhan.
Malaysia turut menyatakan komitmen untuk memastikan penyelesaian isu tersebut dirunding secara adil dengan mengambil kira pandangan kerajaan negeri Sabah serta kepentingan bersama.-TVS