KOTA BELUD, 28 Jun: Sebagai sebahagian daripada inisiatif Projek Pembangunan Premis Tamu Desa, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meluluskan peruntukan RM200,000 bagi membina sebuah Tamu Desa baharu di Kampung Tinata, Kota Belud.
Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick berkata, projek itu akan dilaksanakan tahun ini dan dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat, khususnya dalam kalangan usahawan tani dan pengusaha kraftangan.
“Saya menerima permohonan daripada komuniti usahawan, khususnya JKKK, agar dibina premis Tamu Desa di kampung ini sebagai tempat mereka berjual,” katanya selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Kampung Tinata, kelmarin.
Tambahnya, pembinaan premis ini selari dengan kerja-kerja menaik taraf Jalan Podos, yang merupakan laluan utama ke kampung tersebut.
“Dengan adanya jalan yang lebih baik dan premis yang selesa, lebih ramai pengunjung luar boleh datang, sekali gus memberi manfaat langsung kepada ekonomi kampung,” ujarnya.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, turut menyatakan keyakinan bahawa kemudahan ini mampu membuka peluang ekonomi baharu, termasuk dalam sektor pelancongan komuniti.
Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, pembinaan Tamu Desa adalah antara cadangan utama yang dikemukakan KUSKOP dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk tempoh 2026 hingga 2030.
“Antara fokus kita dalam RMK-13 adalah pembangunan usahawan dan koperasi di Malaysia Timur. Saya amat menghargai komitmen Perdana Menteri serta Kementerian Ekonomi yang mengambil kira cadangan ini,” katanya.-TVS