KUALA LUMPUR, 28 Jun: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyangkal dakwaan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mempersoalkan sama ada langkah kerajaan untuk menyemak semula Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) adalah reaksi tergesa-gesa terhadap kritikan media sosial yang ditujukan kepada beliau.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan menegaskan, keputusan untuk menyemak semula itu bukanlah tindakan tergesa-gesa, sebaliknya ia telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri sejak beberapa minggu yang lepas.
“Sebarang dasar, program ataupun keputusan yang dibuat, pertama mesti dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan bukan semuanya sama seperti apa yang mungkin dimahukan oleh mana-mana kementerian.
“Dalam Jemaah Menteri, pelbagai pendapat akan diberikan dengan sebarang keputusan itu akan mengambil kira pandangan daripada kementerian-kementerian yang berbeza. Sama juga dengan RMK-13, sejak dua minggu yang lalu, telah diminta supaya beberapa perkara diteliti,” katanya pada Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat minggu lalu telah meminta supaya semua kementerian meneliti draf dan menulis kepada Kementerian Ekonomi mengenai maklum balas masing-masing.
Susulan daripada itu, satu mesyuarat khas Jemaah Menteri telah diadakan pada Isnin untuk meneliti pandangan daripada semua kementerian.
“Dalam mesyuarat itu, kita kenal pasti banyak perkara yang telah diminta oleh pelbagai kementerian yang perlu diambil kira oleh Kementerian Ekonomi dalam membentuk dokumen RMK-13.
“Itulah antara sebab kenapa Jemaah Menteri pada Rabu telah memutuskan bahawa Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menggalas tugas dan fungsi Menteri Ekonomi bagi tujuan mempersiapkan draf akhir RMK-13 sebelum ia dicetak dan dibentangkan di Parlimen,” katanya.
Semalam, Rafizi menyatakan kebimbangan terhadap keputusan kerajaan bersikap reaktif hanya kerana ada beberapa ciapan balas kepada Fahmi mengenai RMK-13 beberapa hari kebelakangan ini.
Dakwaan itu menyusul selepas pengumuman Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar semalam bahawa Amir Hamzah Azizan telah ditugaskan untuk mengolah dan merombak semula RMK-13 sambil menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi, berkuat kuasa serta-merta. – TVS