KUCHING, 28 Jun: Perasmian Gereja Katolik St Peter di Padungan mempamerkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memelihara keharmonian serta memenuhi keperluan penganut agama lain di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa majlis perasmian pada Sabtu, menegaskan bahawa pembinaan rumah ibadat ini adalah lebih daripada sekadar penambahan struktur fizikal.
Pembinaan rumah ibadat ini tegas beliau merupakan simbol sokongan kerajaan terhadap keharmonian serta kebebasan beragama yang diamalkan secara am dalam masyarakat Sarawak.
“Gereja ini bukan hanya sebuah tempat untuk beribadah, tetapi menjadi lambang kepada prinsip inklusiviti yang sentiasa diketengahkan oleh Kerajaan Sarawak dalam usaha memupuk perpaduan, toleransi dan keharmonian di kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama,” katanya.
Beliau menambah bahawa kewujudan Gereja Katolik St Peter bersama rumah-rumah ibadat lain yang berhampiran merupakan bukti nyata perpaduan agama yang kukuh dan menjadi tonggak utama kesejahteraan dan kestabilan sosial negeri ini.
Kerajaan Sarawak melalui inisiatif Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) turut menyediakan bantuan kewangan berjumlah RM1 juta untuk menyokong kerja-kerja pembinaan tambahan gereja tersebut sebagai komitmen berterusan terhadap pembangunan infrastruktur keagamaan di negeri ini.
Gereja Katolik St Peter yang menelan kos kira-kira RM38 juta ini mampu memuatkan sehingga 1,000 jemaah pada satu-satu masa, selain dilengkapi kemudahan lengkap untuk menyokong pelbagai aktiviti keagamaan dan komuniti.
Perasmian gereja ini turut mencerminkan pelaksanaan dasar inklusif Kerajaan Sarawak selaras dengan hala tuju Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, yang mengutamakan perpaduan sosial serta penghormatan terhadap kepelbagaian budaya dan agama sebagai teras pembangunan negeri. -TVS