KUCHING, 28 Jun: Seorang lelaki dikhuatiri dibaham buaya ketika sedang memancing ikan di sungai Jalan Matang – Kampung Paroh menuju Taman Sri Matang di sini, malam tadi.
Difahamkan dalam kejadian jam 1o malam itu, mangsa, Jacob Tuan berusia 32 tahun memancing ditebing sungai berkenaan, ahli keluarga mangsa telah memaklumkan pihak polis berhubung kejadian itu.
Komander Operasi, Mohamad Nizam Bujang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 10.30 malam dengan menggerakkan 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan BBP Batu Lintang ke lokasi kejadian.
“Kejadian berlaku di tebing sungai yang berada dalam anggaran 200 meter dari jalan raya.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sukar dilakukan disebabkan jalan menuju ke lokasi kejadian melalui semak samun serta gelap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, operasi SAR ditangguhkan pada jam 12.30 pagi.
“Hasil perbincangan dengan pihak polis serta agensi lain yang berada di lokasi kejadian, operasi SAR akan disambung semula pada awal pagi ini,” ujarnya.- TVS