BINTULU, 27 Jun: Bintulu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat pelaburan strategik di Sarawak dengan kehadiran industri utama seperti petrokimia dan pemprosesan alga, di samping pembangunan estet perindustrian bagi menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata pelabur masa kini memerlukan ekosistem lengkap yang merangkumi industri sokongan seperti logistik, pemakanan, serta pelbagai perkhidmatan lain. Katanya, Sarawak bersedia menyediakan keperluan tersebut selaras dengan hala tuju pembangunan ekonomi negeri.
“Kita harus melihat bukan sahaja program-program kerajaan, tetapi pada masa yang sama kita harus melihat apakah yang boleh dimanafaatkan serta apa yang boleh kita sokong untuk memenuhi keperluan para pelabur-pelabur yang ada.
“Mereka memerlukan industri sokonga untuk menyediakan keperluan logistiknya, untuk menyediakan keperluan seperti makanan serta minuman dan and pelbagai perkhidmatan yang mereka perlukan,” ujarnya.
“Kita pasti boleh menawar serta mengusahakannya, asalkan kita mempunyai kesungguhan serta keupayaan,” ujarnya lagi
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Showcase Usahawan Sarawak (SUS) 2025 di Times Square Megamall Bintulu pada Jumaat.
Awang Tengah turut menambah, pembangunan industri itu turut membuka peluang kepada anak muda dan komuniti luar bandar melalui program permulaan atau ‘start up’ yang dirangka berdasarkan model kejayaan luar negara seperti Korea Selatan -TVS