SIBU, 27 Jun: Penganjuran Sibu Esports Festival (SIESF) 2025 diyakini mampu menjadi platform strategik dalam memperkasa peranan belia tempatan ke arah pembinaan kerjaya dalam industri digital yang berkembang pesat di peringkat global.
Menurut Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, e-sukan kini bukan lagi sekadar aktiviti masa lapang, sebaliknya telah menjadi industri global yang mampu melahirkan profesional digital serta mencetuskan pelbagai peluang baharu.
“Esukan atau e-sports bukan lagi sekadar aktiviti masa lapang. Ia kini merupakan satu industri yang berkembang pesat secara global, mencetuskan peluang baharu dalam bidang keusahawanan digital, pembangunan bakat dan kerjaya profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan SIESF 2025 di Stadium Tertutup Sibu, hari ini.
Tambah beliau, penganjuran festival ini membuktikan bahawa Sibu bukan sahaja bersedia, malah sudah aktif menyertai arus pembangunan industri e-sukan negara.
SIESF 2025 juga disifatkan bertepatan dengan usaha memperkukuh sektor pelancongan domestik, merangsang ekonomi setempat serta membina jaringan pembangunan belia yang mampan.
“Kita berharap festival ini akan dijadikan sebagai acara tahunan tetap dalam kalendar pelancongan dan pembangunan belia di Bahagian Sibu,” tambahnya.
Festival yang berlangsung dari 27 hingga 29 Jun ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian Sibu (DTTG) bersama Persatuan Sukan Elektronik Bahagian Sibu (SDESA).
Sekitar 2,000 peserta dari dalam dan luar negara hadir memeriahkan festival tersebut, yang turut menampilkan pelbagai program sampingan seperti Karnival Kerjaya, TVET, Karnival Usahawan Belia dan banyak lagi. – TVS