JAKARTA, 27 Jun: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma, Indonesia pada pukul 12.57 tengah hari waktu tempatan pada Jumaat.
Beliau disambut oleh Presiden Indonesia, Jeneral Prabowo Subianto bagi memulakan lawatan rasmi ke Indonesia sebelum dijangka pulang ke Kuala Lumpur pada petang ini.
Ketibaan Anwar turut diiringi oleh beberapa menteri kabinet antaranya Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi, Senator Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Menurut Wisma Putra, lawatan ini adalah sebahagian usaha kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan dua hala, khususnya di peringkat tertinggi.
Antara perkara yang akan dibincangkan ialah isu-isu dua hala, perkembangan serantau dan isu global yang berkepentingan bersama.
Lawatan rasmi ini memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan Indonesia demi manfaat bersama serta komuniti ASEAN. – TVS