MIRI, 27 Jun: Orang ramai disaran agar lebih peka dan berhati-hati terhadap aspek keselamatan elektrik di kediaman masing-masing susulan dua kejadian kebakaran yang berlaku di kawasan Tudan Desaras, Miri, baru-baru ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, siasatan awal mendapati kebakaran tersebut berkemungkinan berpunca daripada penggunaan pendawaian elektrik yang tidak selamat dan sambungan tidak mengikut spesifikasi.
“Rumah satu lagi pun, pemilik kata punca dari elektrik juga. Jadi saya ingin menasihatkan semua agar berhati-hati. Jangan pasang wire sendiri atau sambung sendiri sehingga menyebabkan ‘overloading’.
“Kita tak boleh main sambung sendiri. Kadang-kadang mereka tarik dari soket dan sambung sendiri tanpa ikut spesifikasi. Ini sangat berbahaya,” katanya.
Beliau turut menyeru agar masyarakat kampung mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk ketika memasak dan memastikan anak-anak tidak bermain api.
“Ada juga kes, masa masak tak tutup dapur, sampai kering dan terbakar. Atau budak-budak main lilin. Semua ini punca biasa yang kita dengar. Mesti ada pengawasan orang dewasa,” tambahnya.
Dalam dua kejadian yang berlaku dalam tempoh kurang 24 jam di Jalan Tudan Desaras baru-baru ini, sekurang-kurangnya enam penghuni hilang tempat tinggal manakala sebuah kenderaan turut musnah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Jugah memaklumkan kejadian pertama berlaku pada malam 25 Jun, melibatkan sebuah rumah separuh kekal dan kereta jenis Proton Saga BLM, manakala kebakaran kedua berlaku pada pagi 26 Jun dan memusnahkan sebuah rumah setingkat 100 peratus.
Pasukan bomba dari BBP Lutong dengan bantuan BBP Lopeng berjaya mengawal kebakaran menggunakan salur bantu mula dan sumber air dari sungai serta pili bomba berdekatan.
Tiada kematian dilaporkan, namun siasatan terhadap punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih diteruskan. – TVS