KUCHING, 27 Jun: Borneo International Innovation & Creativity Competition (BIICC) 2025 yang pertama kali dianjurkan di Sarawak menerima sambutan menggalakkan daripada guru dan pelajar seluruh negara.
Mereka menyifatkannya sebagai platform penting dalam mencungkil bakat serta membudayakan inovasi di peringkat sekolah.
Guru SMK Tengku Mahmud 2, Terengganu, Jamaliah Ebni berkata, program tersebut memberi peluang kepada pelajar dan guru untuk berfikir secara kreatif dan membina inovasi yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.
“Pelajar diberi ruang untuk meneroka dan mencipta inovasi berasaskan metodologi kajian yang terperinci. Ia turut memberi nilai tambah kepada guru sebagai pembimbing dan penyokong dalam proses ini,” katanya.
Sementara itu, Dr Mohd Adnan Kaus dari SM Sains Muzaffar Syah, Melaka berkata, penyertaan dalam BIICC turut memperkasa hubungan dua hala antara guru dan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Guru bukan sahaja membimbing dari segi idea dan teknikal tetapi juga menjadi sumber semangat kepada pelajar sepanjang proses pertandingan,” ujarnya.
Bagi pelajar SM Sains Alam Shah, Kuala Lumpur, Faiz Norhamif, 16, penyertaan dalam BIICC adalah satu peluang untuk mencabar diri dalam menghadapi cabaran teknologi kecerdasan buatan (AI) dan menyemarakkan budaya sains dalam kalangan belia.
“BIICC membolehkan pelajar dari sekolah dan IPT bergiat aktif dalam bidang inovasi serta membina kesedaran terhadap pentingnya adaptasi teknologi masa kini,” jelasnya.
Pelajar SK Convent (2) Bukit Nanas, Nur Naurah Adni, 12, pula menyifatkan penyertaannya sebagai satu pengalaman baharu yang menyeronokkan dan membuka ruang meneroka kreativiti bersama rakan-rakan.
“Saya mahu belajar benda baharu dan mencuba pelbagai idea kreatif. Ini pengalaman yang sangat menyeronokkan,” kata Nur Naurah.-TVS