SADONG JAYA, 27 Jun: Generasi muda disaran merebut peluang pendidikan yang ditawarkan Kerajaan Sarawak termasuk Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang akan dilaksanakan mulai 2026.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, skim itu menawarkan pendidikan percuma di universiti milik Kerajaan Sarawak bagi bidang terpilih selain menyediakan elaun tahunan RM15,000 kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Saya berharap anak-anak kita mengambil peluang ini untuk menimba ilmu setinggi mungkin,” katanya ketika merasmikan Majlis Penangguhan Kejohanan Olahraga Tahunan ke-13 SMK Sadong Jaya, semalam.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah dan PIBG atas kejayaan penganjuran kejohanan yang disifatkan mampu mengasah bakat sukan dan membentuk nilai seperti kerjasama serta disiplin dalam kalangan pelajar.
Rodiyah turut mengumumkan sumbangan RM15,000 kepada PIBG sekolah bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti pelajar.
Sementara itu, ADUN Simunjan, Awla Dris turut menyatakan sokongan terhadap kejohanan empat hari itu yang berlangsung sejak 23 Jun serta memuji SMK Sadong Jaya sebagai antara sekolah unggul di kawasan Samarahan.
Beliau turut menyumbang RM5,000 kepada PIBG sekolah sebagai galakan pembangunan sukan dan kokurikulum selain menghargai peranan sekolah dalam membentuk pelajar cemerlang dari segi akademik dan sahsiah.-TVS