BINTULU, 27 Jun: Kerajaan Sarawak menaruh harapan tinggi terhadap Majlis Islam Sarawak (MIS) untuk terus memacu pembaharuan ummah sebagai sebuah institusi Islam yang cekap, strategik dan berwibawa dalam menghadapi cabaran semasa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, MIS bukan sahaja perlu kekal relevan dalam pentadbiran hal ehwal Islam malah perlu menjadi model pentadbiran Islam moden berpaksikan maqasid syariah.
“Kita mahu umat Islam di Sarawak bangkit sebagai pencetus pembaharuan, pemikir strategik dan penggerak perubahan bukan sekadar pengikut,” katanya dalam ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Perhimpunan Ma’al Hijrah Peringkat Sarawak 1447H/2025M di Dewan Suarah Bintulu hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga MIS sempena ulang tahun ke-70 penubuhannya atas sumbangan dalam memperkasa institusi Islam di wilayah ini sejak 1955.
Sementara itu, Yang di-Pertua MIS, Datuk Misnu Taha berkata, MIS terus komited melaksanakan Pelan Tindakan MIS 2021–2030 bagi memperkukuh tadbir urus Islam selaras dengan prinsip maqasid syariah.
Menurutnya, MIS juga menyokong penuh Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) dan memastikan institusi Islam terlibat dalam agenda pembangunan seperti ekonomi hidrogen, teknologi hijau dan kelestarian alam.
“MIS beriltizam menjadi peneraju dalam membentuk ummah yang maju, makmur dan inklusif,” ujarnya.-TVS