KUALA LUMPUR, 27 Jun: Umat Islam di Malaysia diseru untuk melakukan transformasi menyeluruh dari segi nilai, pemikiran dan sikap sejajar dengan makna hijrah yang kini merangkumi perubahan rohani, sosial dan intelektual bukan sekadar perubahan fizikal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, rakyat perlu bersama menjadi ejen penggerak dalam membudayakan ilmu, menjunjung nilai, mengutamakan perpaduan serta menghormati perbezaan demi membina keluarga, komuniti dan negara berasaskan ihsan dan taqwa.
“Kerajaan menerusi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangka Pelan Hala Tuju Al-Falah 2023–2025 berteraskan nilai hijrah, ilmu, integriti, etika, istiqamah dan ikhlas sebagai kerangka pembangunan Islam yang lebih mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447H/2025M di MITEC yang dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Dr Na’im turut menyatakan tema sambutan tahun ini, ‘Membangun Ummah MADANI’ amat bertepatan dengan semangat hijrah Rasulullah SAW yang menyeru kepada pembentukan masyarakat yang adil, berakhlak dan progresif.
“Tema ini menuntut umat Islam untuk mengangkat semula peranan sebagai ejen rahmat dan pembina masyarakat berteraskan nilai serta berpaksikan akidah,” ujarnya.-TVS