Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump. Foto fail AFP

Trump sahkan perjanjian perdagangan AS-China dimeterai pada Rabu

ByBernama

WASHINGTON, 27 Jun: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengesahkan pada Rabu bahawa AS telah memeterai perjanjian perdagangan dengan China.

“Ya, kami baru sahaja menandatangani perjanjian dengan China semalam, bukan? Baru tandatangan dengan China,” kata Trump dalam acara One Big Beautiful Bill di Rumah Putih pada Khamis, menurut laporan Anadolu Ajansi (AA), meskipun butiran perjanjian itu masih belum diumumkan secara rasmi.

Beliau menambah bahawa perjanjian itu menandakan langkah ke arah membuka pasaran China, sambil berkata: “Dalam perjanjian China, kami telah mula mendapat akses ke pasaran China. Sesuatu yang sebelum ini tidak mungkin berlaku.”

Awal bulan ini, pegawai AS dan China mengadakan rundingan berkaitan tarif di London.

AS mula mengenakan tarif besar terhadap barangan import dari China pada April, namun kedua-dua pihak bersetuju untuk menarik semula sebahagian tarif itu secara sementara selama 90 hari pada Mei.

Trump turut memberi bayangan mengenai kemungkinan perjanjian perdagangan dengan India.

“Kami sedang usahakan beberapa perjanjian yang baik. Antaranya, mungkin dengan India – perjanjian yang sangat besar iaitu kami akan membuka pasaran India,” katanya.

Beliau menyatakan AS telah mengutip US$88 bilion melalui kutipan tarif, menyifatkannya sebagai “sesuatu yang indah.”

Dalam acara sama, Trump mempromosikan pakej reformasi cukai dan perbelanjaan yang diterajui Parti Republikan, dikenali sebagai One Big Beautiful Bill, dan menyifatkannya sebagai “satu daripada rang undang-undang paling penting dalam sejarah negara.”

Katanya, rang undang-undang itu akan “mengukuhkan sempadan negara, melonjakkan ekonomi, dan mengembalikan impian Amerika.”

Rang undang-undang berkenaan diluluskan Dewan Perwakilan bulan lalu dengan majoriti tipis, dan Senator Republikan kini sedang merangka pindaan sebelum dihantar semula untuk kelulusan akhir.

Jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt memberitahu pemberita pada Khamis bahawa Trump menjangkakan rang undang-undang itu akan diserahkan kepadanya untuk ditandatangani sebelum 4 Julai.

“Kami menjangkakan rang undang-undang itu akan berada di meja presiden untuk ditandatangani sebelum 4 Julai,” katanya. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan