KUALA LUMPUR, 26 Jun: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pembaharuan positif mampu memastikan kestabilan negara dari sudut sosial, ekonomi dan tadbir urus yang baik.
Jelasnya, pemerkasaan ekonomi tetap menjadi asas utama sesebuah negara, namun tidak boleh dilihat secara terpisah daripada keperluan reformasi moral, nilai dan integriti.
“Itulah sebab kita juga bercakap tentang pemerkasaan budaya. Kita berpegang pada idealisme, maka nilai dan etika perlu kukuh.
“Tetapi selepas dua hingga tiga generasi, kita dapati berlakunya kemerosotan nilai-nilai etika. Kita telah kehilangan idealisme itu,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama semasa merasmikan Simposium ASEAN MADANI Leadership di ibu negara pada Khamis.
Anwar turut menekankan bahawa pemimpin dan institusi perlu memiliki kejelasan moral serta kemahuan politik yang kuat, khususnya dalam usaha membanteras rasuah dan memperkukuh institusi negara.
Menyentuh tentang kemajmukan negara, Perdana Menteri menyatakan bahawa Malaysia memiliki kepelbagaian kaum dan agama yang memerlukan pendekatan yang bijaksana.
“Islam merupakan agama Persekutuan dengan kira-kira 60 peratus penduduk negara ini beragama Islam. Tetapi Malaysia ialah masyarakat majmuk.
“Setiap kumpulan etnik dan agama mempunyai suara dan keinginan untuk dilindungi.
“Tidak mungkin kita dapat memuaskan hati semua pihak serentak, tetapi kita harus belajar untuk menerima dan mengurus perbezaan dengan hikmah,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan perlunya dialog dan keterlibatan antara penganut pelbagai agama dan budaya. – TVS.