MIRI, 26 Jun: Seorang wanita tempatan berusia lewat 30-an berputih mata apabila kerugian kira-kira RM1.1 juta selepas diperdaya sindiket pelaburan dalam talian tidak wujud, awal Disember 2024.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata, mangsa yang juga seorang penjawat awam di daerah ini membuat laporan polis selepas menyedari ditipu suspek yang tidak dikenali menghubunginya menerusi panggilan telefon.
“Suspek telah menawarkan satu pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh masa yang singkat.
“Mangsa yang tertarik kemudian diarahkan oleh suspek memuat turun satu aplikasi pelaburan melalui pautan (diberikan suspek),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa telah melakukan beberapa transaksi ke dalam akaun bank yang diberikan suspek secara berperingkat berjumlah kira-kira RM1.1 juta.
Bagaimanapun, kata beliau, mangsa mula mengesyaki sesuatu apabila tidak dapat mengeluarkan keuntungan seperti dijanjikan.
“Mangsa menyedari telah ditipu apabila cuba untuk mengeluarkan keuntungan hasil pelaburan tetapi tidak berjaya, malah suspek terus meminta mangsa membuat beberapa bayaran sekiranya ingin mengeluarkan keuntungan tersebut,” katanya.
Sehingga laporan polis dibuat, mangsa masih belum menerima sebarang keuntungan yang dijanjikan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlalu mudah percaya dengan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan keuntungan tinggi dalam tempoh masa yang singkat,” katanya.