MIRI, 26 Jun: Kuala Baram Cycling Race (KBCR) 4.0 Tahun 2025 bakal menghimpunkan lebih 600 pelumba basikal tempatan dan antarabangsa di Miri pada 5 dan 6 Julai ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, berkata edisi keempat ini merupakan satu acara sukan pelancongan bertaraf antarabangsa yang menyokong usaha menjadikan Miri sebagai destinasi utama untuk perlumbaan berbasikal kompetitif.
âTujuan utama KBCR adalah untuk menaikkan kedudukan Miri sebagai destinasi sukan berbasikal yang unggul, bukan hanya di Sarawak, malah di rantau ini. Ini selari dengan visi Miri menjadi sebuah bandar peranginan antarabangsa yang pintar, hijau dan berdaya huni,â katanya pada sidang media Kuala Baram Cycling Race (KBCR) 4.0 Tahun 2025 di sini, hari ini.
Tambahnya, edisi tahun ini menyaksikan peningkatan penyertaan luar biasa dengan 632 pelumba berdaftar berbanding hanya 321 peserta pada tahun lalu.
âTahun ini, kita menerima penyertaan pelumba dari tujuh negara Brunei, Filipina, Singapura, Afrika Selatan, Indonesia, United Kingdom dan New Zealand serta pelumba dari 8 negeri Malaysia dan 11 bahagian di Sarawak,â ujarnya.
Perlumbaan kali ini akan menampilkan dua acara utama iaitu ujian masa berpasukan sejauh 22 kilometer dan perlumbaan utama sejauh 111 kilometer, yang merentasi lebuh raya pesisir pantai, kawasan luar bandar dan pusat bandar Miri.
Perlumbaan akan bermula dan berakhir di Miri City Hall.
âHarapan kita ialah satu hari nanti Sarawak akan melahirkan juara dunia dan wakil ke temasya Olimpik dalam acara berbasikal. Inilah matlamat jangka panjang kami,” katanya.
Menurutnya lagi, untuk menjadikan acara ini lebih menarik dan kompetitif, jumlah hadiah wang tunai ditingkatkan kepada RM150,000, merangkumi pelbagai kategori seperti Lelaki Terbuka, Belia, Master, Veteran, Wanita dan Piala SuperX.
Beliau turut menekankan perlunya kerjasama komuniti untuk menjayakan acara ini, termasuk dalam aspek keselamatan lalu lintas. Pihak penganjur telah memaklumkan bahawa beberapa jalan utama akan ditutup secara sementara sepanjang acara berlangsung.-TVS