Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
RWMF menampilkan pemuzik dari dalam dan luar negara serta pelbagai aktiviti berteraskan alam sekitar, budaya dan komuniti. Foto fail TVS

Impak ekonomi RWMF lebih penting berbanding jumlah pengunjung

ByRegina Lee

KUCHING, 26 Jun: Kejayaan penganjuran Rainforest World Music Festival (RWMF) 2025 dinilai bukan semata-mata berdasarkan jumlah kehadiran pengunjung, sebaliknya menerusi impak ekonomi yang dijana kepada industri pelancongan dan komuniti setempat.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata meskipun jumlah kehadiran tahun ini mencatat sedikit penurunan berbanding 2024, nilai perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi menjadi petunjuk positif terhadap kesan jangka panjang festival berkenaan.

“Tahun ini, RWMF menarik kehadiran 22,148 orang, sedikit rendah berbanding sekitar 25,000 hingga 26,000 tahun lalu. Namun, hampir separuh daripada jumlah itu merupakan pelawat dari luar Sarawak yang menyumbang kepada perbelanjaan domestik termasuk penginapan, makanan dan aktiviti pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sidang media PETRONAS Youth Football Closed Tournament 2025 (PYFCT 2025) di sini hari ini.

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah

Abdul Karim berkata RWMF kini semakin dilihat sebagai platform hiburan inklusif yang menarik minat pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga dan pelancong luar negara, berbanding hanya tertumpu kepada peminat muzik.

Katanya lagi, faktor persaingan daripada penganjuran festival muzik lain di bandar serantau seperti Singapura, Jakarta, Manila dan Kuala Lumpur pada tarikh yang hampir serentak turut menjadi antara punca pengurangan kehadiran.

Namun, tegas beliau, kerajaan tidak melihat penganjuran RWMF sebagai usaha komersial semata-mata, sebaliknya sebagai pemangkin ekonomi kreatif serta alat memperkukuh identiti dan imej Sarawak di peringkat antarabangsa.

“Kita tidak menilai pulangan pelaburan (ROI) daripada penjualan tiket sahaja. Spin-off ekonomi kepada sektor hospitaliti dan pelancongan jauh lebih besar nilainya,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata jumlah hasil resit pelancongan Sarawak mencatat peningkatan ketara, walaupun jumlah pelawat sedikit menyusut bagi tempoh Januari hingga Mei 2025 berbanding tahun sebelumnya.

“Setiap bulan dalam tempoh itu, hasil kutipan pelancongan mencecah lebih RM1 bilion. Ini membuktikan pelancong yang datang mungkin kurang dari segi bilangan, tetapi tinggi dari segi nilai ekonomi,” katanya.

RWMF 2025 berlangsung dari 20 hingga 22 Jun lalu di Kampung Budaya Sarawak, menampilkan pemuzik dari dalam dan luar negara serta pelbagai aktiviti berteraskan alam sekitar, budaya dan komuniti.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan