KUCHING, 26 Jun: Golongan pencinta alam sekitar dan penggemar produk organik pastinya teruja dengan penganjuran Plant Fair – Cultivating Community 2025 yang berlangsung mulai hari ini hingga 29 Jun di pusat beli-belah The Spring, di sini.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Kho Teck Wan berkata program anjuran bersama Kuching Natural Farmers’ Market, Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) dan The Spring itu merupakan platform penting memperkasa komuniti setempat serta menyokong usaha ke arah kelestarian alam sekitar.
“Kita memerlukan sokongan dan penglibatan pihak swasta, NGO dan individu persendirian untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam menjayakan program komuniti sebegini.
“Pameran ini bukan sahaja menjual produk, malah merangkumi ceramah kesihatan dan sudut pertukaran tanaman, yang memberi nilai tambah kepada pengunjung,” katanya ketika berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, pada program berkenaan hari ini.
Program itu menghimpunkan lebih 50 usahawan tempatan yang terlibat dalam penghasilan makanan dan minuman berasaskan organik, produk penjagaan diri, tanaman hiasan serta pelbagai produk mesra alam.
Tambahnya, inisiatif seperti ini bukan sahaja meningkatkan sosioekonomi usahawan tempatan, malah memberi manfaat secara langsung kepada komuniti melalui pendekatan lestari yang diterapkan.
Menurutnya lagi, walaupun dianjurkan secara sederhana, program ini selaras dengan usaha Sarawak dan komuniti tempatan dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Antaranya termasuk SDG 2 (Sifar Kelaparan), SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan), SDG 11 (Bandar dan Komuniti Lestari), SDG 12 (Pengeluaran dan Penggunaan Bertanggungjawab), serta SDG 15 (Kehidupan di Darat).
Penganjuran Plant Fair – Cultivating Community 2025 jelas mencerminkan usaha bersepadu antara sektor kerajaan dan swasta dalam mendidik masyarakat serta memupuk gaya hidup sihat dan mampan.