PASIR GUDANG, 26 Jun: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mensasarkan jualan produk landskap buatan Malaysia ke Singapura bernilai RM500 juta menjelang tahun depan.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, sasaran itu dijangka dapat direalisasikan melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang akan dilaksanakan semasa lawatan rasmi beliau ke republik itu hari ini.
Beliau turut optimis bahawa sasaran tersebut boleh dicapai dengan perancangan strategik serta kerjasama erat antara kedua-dua negara.
“Singapura telah menunjukkan minat yang tinggi untuk membeli bahan buatan landskap dari Malaysia. Ini adalah peluang besar buat kita untuk meningkatkan industri landskap tempatan, sekali gus menjana pendapatan kepada negara.
“Saya yakin, dengan perancangan yang rapi dan semangat kerjasama erat, sasaran RM500 juta ini mampu direalisasikan,” katanya.
Kor Ming berkata demikian dalam media selepas hadir Majlis Sambutan Hari Landskap Negara 2025 di Taman Bandar Bukit Layang-Layang di sini yang dirasmikan isteri Pemangku Sultan Johor, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam.
Sementara itu beliau memberitahu, produk landskap buatan Malaysia seperti perabot taman, bahan seni bina landskap dan tumbuhan hiasan yang berkualiti tinggi dijangka menjadi pilihan utama Singapura.
“Permintaan tinggi oleh Singapura bukti kepercayaan mereka terhadap keupayaan Malaysia menghasilkan produk landskap yang memenuhi piawaian antarabangsa.
“Oleh itu kita harus menjaga hubungan erat ini dengan semangatyang mementingkan kerjasama dan persefahaman. Ini bukan sahaja untuk manfaat kedua-dua negara, tetapi juga untuk kestabilan dan kemajuan rantau ini,” tambah beliau. – TVS.