BAU, 26 Jun : Kerajaan Sarawak komited menyelesaikan isu gangguan bekalan air terawat yang berlarutan di kawasan Jagoi, Bratak dan sekitarnya menjelang perayaan Hari Gawai tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Dato Henry Harry Jinep.
Menurutnya, inisiatif itu dilaksanakan menerusi projek menaik taraf paip jenis High-Density Polyethylene (HDPE) sepanjang 10.1 kilometer iaitu bermula dari simpang lampu isyarat Bau ke Stesen Pam Peninjau.
Henry memberitahu projek yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) itu kini berada dalam fasa akhir penyediaan tender dan dijangka dimulakan pada September ini.
“Projek ini kini dalam fasa akhir penyediaan tender dan dijangka mampu meningkatkan kapasiti sistem bekalan air di kawasan ini sekaligus menyelesaikan isu gangguan bekalan air yang sudah berlarutan,” katanya pada sidang media isu gangguan bekalan air terawat di daerah Bau di Kompleks Pejabat Daerah Bau, hari ini.
Henry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru berkata masalah gangguan bekalan air yang dialami sejak hujung tahun 2024 telah menjejaskan penduduk di beberapa kampung utama termasuk Stass, Serikin, Gumbang, dan Jagoi, khususnya semasa musim perayaan Gawai dan Krismas.
“Masalah ini telah memberi kesan kepada kesejahteraan penduduk kampung-kampung terlibat termasuk di Stass, Serikin, Gumbang, Tringgus dan kawasan sekitar,” ujarnya.
Tambah beliau, kebocoran paip serta peningkatan jumlah penduduk menjadi antara punca utama sistem bekalan sedia ada tidak lagi dapat menampung keperluan.
“Paip yang sedia ada sekarang ini sudah tidak mencukupi untuk menampung keperluan. Penduduk bertambah, rumah baru pun bertambah, dan kawasan kampung sekarang ini sudah menjadi kawasan yang besar,” jelasnya.
Henry turut memaklumkan bahawa pihak JBALB telah melaksanakan pelbagai usaha segera termasuk pengesanan kebocoran paip melalui ujian ‘step test’, kerja-kerja baik pulih, penghantaran air ke kawasan terjejas, serta pemasangan ‘logger’ untuk memantau tekanan dan aliran air.
“Saya menghargai usaha-usaha segera yang diambil termasuk pelaksanaan ‘step test’ atau pengesanan kebocoran paip secara aktif, kerja-kerja baik pulih paip, penghantaran air ke kawasan terjejas dan pemasangan ‘logger’ untuk memantau tekanan serta aliran air,” katanya lagi.
Dalam perancangannya, projek ini bukan sahaja menyediakan saluran air alternatif, malah bertujuan meningkatkan tekanan air dan daya tampung sistem sedia ada yang kini hanya bergantung kepada satu saluran.
“Sekarang kita hanya ada satu. Bila kita ada kebocoran, bila kita tidak mempunyai kapasiti yang mencukupi, kita ada masalah yang besar. Bila tekanan tidak mencukupi, air tidak dapat sampai ke setiap rumah.
“Dengan paip kedua ini, maksudnya kalau satu bocor, satu lagi masih boleh menyalurkan bekalan. Jadi kita ada dua paip. Ini adalah penyelesaian jangka masa panjang,” jelas beliau.
Beliau menjangkakan pelaksanaan fizikal akan bermula pada September 2025 dan siap sepenuhnya dalam masa enam bulan, iaitu sebelum Gawai Dayak tahun berikutnya.
“Pada bulan September, kita akan mulakan projek. Pelaksanaan pada bulan September ini. Sebelum Gawai seterusnya, ia sepatutnya diselesaikan. Enam bulan dari bulan September,” katanya.
Untuk rekod, lebih 2,100 buah rumah melibatkan anggaran 7,000 penduduk dikenal pasti sebagai kumpulan terkesan secara langsung akibat gangguan bekalan air yang berlarutan sejak akhir tahun lalu. – TVS