PUTRAJAYA, 26 Jun: Malaysia akan menyertai Triti Angkasa di bawah United Nations Committee on the Peaceful Uses of Outer SpaceĀ (UNCOPUOS) seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet semalam, menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
MOSTI dalam kenyataan memaklumkan dua daripada lima Triti AngkasaĀ di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan diratifikasi dan disertai adalahĀ Treaty on Principles Governing the Activities of States in the Exploration and Use of Outer Space,Ā Including the Moon and Other Celestial BodiesĀ (OST 1967) danĀ Convention on Registration of Objects Launched into Outer SpaceĀ (REG 1975).
āIa adalah lanjutan daripada penguatkuasaan penuh Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834) pada 1 Jan 2025 dengan negara telah mempunyai struktur perundangan angkasa domestik yang holistik dan meyakinkan untuk kerajaan (melalui MOSTI) menyertai Triti Angkasa berkenaan selaras kepentingan pembangunan industri angkasa negara,ā menurut kenyataan itu hari ini.
MOSTI memaklumkanĀ Triti Angkasa adalah asas kepada undang-undang angkasa antarabangsa yang menggariskan prinsip-prinsip utama seperti penerokaan dan penggunaan ruang angkasa demi kepentingan semua negara yang hanya untuk tujuan keamanan serta larangan menggunakan platform angkasa bagi tujuan ketenteraan.
āPersetujuan daripada Jemaah Menteri ini akan membolehkan MOSTI melalui Bahagian Penguasa Angkasa (BPAngkasa) memulakan prosedur tempatan dan antarabangsa dengan kerjasama Kementerian Luar.
āIa untuk memuktamadkan proses ratifikasi dan penyertaan Malaysia yang memerlukan negara melalui Kementerian LuarĀ menyerahkan instrumen penyertaan kepada depositori triti ini sama ada di London, Moscow atau Washington,ā menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dalam kenyataan sama berkata penyertaan ini merupakan satu langkah bersejarah yang mampu memartabatkan kedudukan negara sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab dalam arena angkasa antarabangsa sejajar dengan prinsip Akta 834.
Beliau berkata penyertaan Malaysia dalam Triti Angkasa bertepatan dengan aspirasi negara untuk menjadi pemain aktif yang bertanggungjawab dalam sektor angkasa lepas global selaras dengan Teras 5: Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030), iaitu meningkatkan dan mengukuhkan kerjasama serta jaringan antarabangsa.
āMelalui ratifikasi Triti Angkasa ini, ia akan membolehkan negara menyuarakan pandangan mengenai kepentingan sektor angkasa secara lebih efektif.
āIni turut mencerminkan komitmen Malaysia untuk menyokong penggunaan ruang angkasa secara aman dan bertanggungjawab, serta memastikan kelestarian angkasa lepas,ā katanya.
Beliau berkata Malaysia bertekad untuk memainkan peranan yang membina dalam memastikan ruang angkasa kekal sebagai domain kerjasama serta keamanan bertepatan prinsip dan semangat triti.
āLangkah strategik ini bertujuan untuk melindungi kepentingan negara serta memastikan Malaysia bersedia menghadapi cabaran dan merebut peluang dalam sektor angkasa global yang berkembang pesat.
āIa seterusnya memberi isyarat diplomatik bahawa Malaysia komited untuk menjadi sebuah negara yang bertanggungjawab dalam aktiviti angkasanya,ā katanya.-TVS