PADAWAN, 19 Sept: Tindakan seorang lelaki memandu kereta di bawah pengaruh alkohol akhirnya membawa padah apabila dia ditahan polis dalam Op Mabuk pada Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintenden (DSP) Lim Jaw Shyong berkata lelaki yang memandu kenderaan pacuan empat roda itu ditahan di Batu 16 Jalan Kuching-Serian selepas didapati memandu dengan kepekatan alkohol dalam darah melebihi had yang ditetapkan.
“Pemandu berusia 30 tahun itu kemudian dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Padawan untuk disiasat di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dari dua tahun dan denda sebanyak RM10,000 hingga RM30,000.
Tambah Lim, sebanyak 15 keping saman turut dikeluarkan dalam operasi berkenaan atas pelbagai kesalahan yang mana antaranya adalah mengubah suai ekzos.
Beliau turut memberitahu operasi ini bertujuan untuk mencegah pemandu-pemandu yang telah mengambil alkohol secara berlebihan daripada terus memandu atau menunggang sebarang jenis kenderaan di atas jalan raya awam.
“Pemeriksaan prosedur operasi standard (SOP) juga dilakukan ke atas setiap kenderaan yang ingin merentas daerah melalui kawasan ini.
“Orang ramai diingatkan agar tidak memandu atau menunggang motosikal selepas mengambil minuman alkohol untuk keselamatan diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain,” ujarnya. -TVS