MIRI, 26 Jun: Lima penghuni hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Tudan Desaras di sini, hari ini.
Komander Operasi, Henry Jugah berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 8.04 pagi dengan menggerakkan 15 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong dibantu BBP Lopeng ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah setingkat telah terbakar keseluruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihaknya berjaya memadam kebakaran sepenuhnya dengan menggunakan satu aliran 300 kaki, dua nozel, satu cabang pembahagi, pam angkut dan sumber air diperolehi daripada sungai yang berdekatan.
“Kebakaran telah dapat dikawal sepenuhnya pada jam 8.33 pagi, setelah memeriksa lokasi dan mendapati keadaan selamat, pihak bomba berangkat balik ke balai,” ujarnya. – TVS