ENGHIEN-LES-BAINS, PERANCIS, 26 Jun: Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng mewakili Malaysia pada Persidangan Tahunan Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO (UCCN) ke-17 yang berlangsung dari 24 hingga 28 Jun di Enghien-les-Bains, Perancis.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Wee memaklumkan Kuching mengambil peluang pada persidangan berprestij itu untuk berkongsi amalan terbaik dalam menjadikan budaya dan kreativiti sebagai pemacu kepada pembangunan mampan di peringkat bandar.
“Platform antarabangsa ini memberi peluang kepada Kuching untuk mengetengahkan bagaimana sebuah bandar di Borneo melaksanakan Manifesto Braga dan Agenda Mondiacult 2025 melalui program komuniti yang memelihara warisan serta memacu masa depan mampan dan inklusif,” katanya.
Persidangan bertemakan Inovasi Budaya dan Kemampanan itu menghimpunkan lebih 350 bandar anggota dari 100 negara yang mewakili tujuh bidang kreativiti utama termasuk gastronomi, seni kraf dan rakyat, reka bentuk, kesusasteraan, muzik, filem dan seni media.
Antara acara utama ialah Forum Datuk Bandar yang menyaksikan penyertaan 95 Datuk Bandar dan Timbalan Datuk Bandar dari seluruh dunia.
Dalam sesi tersebut, Wee menyampaikan pembentangan bertajuk From Braga to Borneo: Implementing the Braga Manifesto through Gastronomy and Culture in Support of the Mondiacult 2025 Agenda yang menekankan komitmen Kuching untuk menerapkan dasar budaya dalam tadbir urus tempatan, memperkukuh penyertaan sosial serta memperkasakan ekonomi komuniti.
Penyertaan beliau dalam persidangan tersebut memperkukuh komitmen Kuching terhadap visi UNESCO untuk menjadikan budaya sebagai aset sejagat serta asas penting dalam agenda pembangunan global pasca 2030.
“Sejak Kuching diiktiraf sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO pertama Malaysia pada tahun 2021, kita terus giat melaksanakan pelbagai inisiatif berasaskan komuniti yang menggabungkan elemen gastronomi, warisan dan kelestarian,” kata Wee.
Persidangan tersebut turut membuka ruang kepada kerjasama strategik antara bandar-bandar anggota dalam pelbagai bidang kreatif sekali gus mengukuhkan lagi peranan Kuching di peringkat antarabangsa sebagai bandar yang berteraskan kreativiti dan budaya.-TVS