LAHAD DATU, 25 Jun: Seorang wanita berusia 56 tahun disahkan maut manakala seorang lelaki cedera ringan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Taman Warisan, Jalan Tengah Nipah, hari ini.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.34 petang dan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi sejauh tujuh kilometer.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah Perodua Myvi, Toyota Hilux dan lori 10 tan.
“Seorang penumpang Myvi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandunya cedera ringan,” kata JBPM Sabah dalam kenyataan.
Mangsa lelaki berusia 69 tahun diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS Bomba.
Tiga lagi mangsa, dua dari Hilux dan seorang pemandu lori, dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.20 petang setelah pihak bomba memastikan tiada lagi ancaman bahaya di lokasi kejadian. – TVS