KEPALA BATAS, 25 Jun: Indikator imbangi kerja dan keluarga (work life balance) di Pulau Pinang didapati menurun berdasarkan Indeks Kajian Kesejahteraan Keluarga Malaysia (IKK) 2022.
Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Pulau Pinang, Dr Azura Abdullah berkata, domain hubungan kekeluargaan itu merekodkan penurunan kepada 7.84 pada 2022 berbanding 8.35 pada tahun sebelumnya.
Kata beliau, domain kesihatan bagi indikator kesihatan umum turut didapati menurun daripada 7.93 pada 2019 kepada 7.48 pada 2022 yang sekali gus memerlukan usaha memberi kesedaran kepada masyarakat bagi mengimbangi kerjaya dan keluarga.
“Isu itu penting untuk diperhalusi agar kita dapat memberi kesedaran agar masyarakat tidak tercicir dan terlepas untuk kedua-dua tanggungjawab itu (kerjaya dan keluarga).
“Kempen Nilai KASIH iaitu (K) kasih sayang, (A) akhlak, (S) sihat dan selamat, (I) ilmu serta (H) harmoni yang diperkenalkan LPPKN amat sesuai dan releven diterapkan dalam kehidupan berkeluarga,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Kesejahteraan Lelaki sempena Sambutan Hari Bapa 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini.
Sementara itu, Azura berkata, pihaknya turut memberi perhatian kepada usaha memperingkatkan kesuburan di negeri itu apabila merekodkan kadar kesuburan paling rendah iaitu 1.3 anak bagi setiap pasangan berbanding kadar nasional 1.7.
Katanya, pihaknya mendapati antara punca penurunan itu termasuklah isu kesihatan kesuburan lelaki dan wanita serta kos sara hidup terutamanya dalam usaha membesarkan anak. – TVS.