KUALA LUMPUR: Kejohanan e-sukan pertama Malaysia untuk Orang Kurang Upaya (OKU), Liga E-Sukan Para Malaysia (Para MEL21), yang dianjurkan buat pertama kalinya dengan menawarkan hadiah keseluruhan RM10,000, kini dibuka untuk pendaftaran.
Pendaftaran yang bermula semalam di https://paramel21.esukan.gg, dengan permainan utama Player Unknown’s Battlegrounds Mobile (PUBGM) dijadualkan berlangsung dari 22-24 Okt.
Kejohanan dianjurkan Techninier dan Esports Integrated (ESI), merupakan satu insiatif untuk memulakan satu ekosistem e-sukan yang bersemangat, lestari dan inklusif di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan disokong Majlis Belia OKU Malaysia.
Pihak penganjur dalam satu kenyataan menyatakan Para MEL21 adalah selaras dengan objektif kerajaan untuk membangunkan e-sukan dan dalam masa sama menyediakan satu ekosistem yang selamat dan inklusif untuk komuniti permainan digital tempatan, di mana sesiapa sahaja boleh menjadi seorang pemain e-sukan, tanpa mengira identiti.
“Dengan e-sukan terus menjadi satu fenomena global dan berkembang menjadi salah satu daripada industri terbesar dunia, adalah penting untuk memastikan yang akses diberikan kepada seramai mungkin peminat e-sukan dan ini termasuk golongan OKU.
“Sebagai penerusan kepada Liga E-Sukan Malaysia Malaysia 2021 (MEL21) yang berakhir pada 1 Sept, KBS melalui ESI mahu mengembangkan liga itu khusus untuk OKU,” kata Menterinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, bersama dengan bantuan warga lain, pemain industri dan agensi berkaitan, KBS mahu membawa kejohanan khusus untuk OKU itu ke tahap lebih besar, hampir kepada Sukan Paralimpik yang dianjurkan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC).