Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Antara produk kraftangan yang dihasilkan oleh usahawan Sarawak.

ASEAN2025: Laluan usahawan tempatan tembusi pasaran serantau

ByFebbright James

DI SEBALIK gema diplomasi dan sidang meja bulat pemimpin serantau, kepengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun ini turut menyulam peluang baharu buat usahawan kecil dan sederhana khususnya dalam industri kraf dan warisan tempatan.

Acara ini dilihat bukan hanya memberi fokus kepada kerjasama ekonomi berskala besar, tetapi turut membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk memperluaskan pasaran mereka ke peringkat serantau.

Baru-baru ini, Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Tenaga Asean atau SOME ke-43 yang diadakan di Kuching, Sarawak bukan sekadar platform diplomatik, malah menjadi pentas kepada usahawan tempatan mempamerkan hasil kraf berasaskan budaya kepada delegasi serantau.

Melalui platform diplomatik yang dirakyatkan, produk warisan tempatan seperti anyaman rotan dan sulaman keringkam semakin mendapat tempat di pasaran ASEAN sekali gus membuktikan bahawa kraf bukan sekadar simbol budaya, tetapi juga aset ekonomi yang bernilai.

Menurut usahawan kraftangan dari Sarawak, Catherine Senia Jugi, 65, produk hasil rotan dan bemban kini mendapat perhatian delegasi antarabangsa sekali gus menandakan potensi besar warisan tempatan untuk dipasarkan di peringkat serantau.

“Acara seperti ini memang sangat membantu sebab yang datang ini kebanyakan dari luar negara peluang ini untuk kita menunjukkan hasil kraf kita.

“Delegasi dari luar negara mula kenal dengan hasil kraf kita dan ada yang terus membeli produk yang dijual di reruai ini,” katanya.

Tambah Catherine yang telah lebih 40 tahun berkecimpung dalam industri kraf, pameran seperti ini bukan sekadar peluang jualan tetapi pengiktirafan kepada usaha komuniti luar bandar yang selama ini bekerja dalam senyap menghasilkan produk berasaskan warisan hutan.

Antara produk yang dipamerkan di reruai bersempena dengan SOME ke-43

‘TEMPIAS’ KEPADA SELURUH RANTAIAN PENGELUARAN

Jelas beliau, petani tempatan di luar bandar turut mendapat ‘tempias’ manfaat daripada acara ini kerana kebanyakan bahan-bahan yang diperlukan untuk menghasilkan produk kraf adalah hasil rimba yang dibekalkan oleh petani tersebut.

“Selain diberi peluang untuk berniaga di reruai pameran, kami (peniaga kraf) juga mendapat tempahan daripada penganjur untuk menghasilkan cenderamata untuk tetamu dan delegasi ASEAN di Kuala Lumpur. Produk termasuk beg anyaman dari bemban.

“Oleh itu, kita memerlukan bekalan bahan yang banyak dari hutan seperti rotan, bemban dan buluh. Inilah peranan petani tempatan. Kami akan mendapatkan bekalan bemban dan rotan dari Serian manakala rotan dari Miri dan Bintulu seterusnya produk akhir akan dibuat dan dikeluarkan di Kuching sebelum dibawa ke Kuala Lumpur.

Tambah beliau, penganjuran acara ini secara amnya memberi manfaat kepada seluruh rantaian penghasilan produk dan bukan hanya tertumpu di peringkat atasan sahaja.

Fatimah Katon, 42, usahawan keringkam

Sementara itu,usahawan keringkam, Fatimah Katon, 42, pula berpendapat bahawa hasil seni tradisi bukan sahaja masih relevan, malah berpotensi untuk dipasarkan secara lebih luas dengan sokongan promosi berskala besar seperti ini.

Fatimah memaklumkan dirinya telah diberi peluang mempamerkan produk keringkamnya di reruai yang disediakan oleh penganjur bersempena dengan ASEAN di Kuala Lumpur dan Kuching.

“Saya ada membuat demonstrasi di reruai Sidak Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur. Bila mereka (delegasi) tengok kita menyulam, mereka betul-betul terpegun. Ada yang tidak pernah mengenali apa yang dinamakan keringkam, sekarang mereka tahu ini produk Sarawak. Alhamdulillah ini secara tidak langsung membantu menjana pendapatan juga,” katanya.

Baginya, kehadiran pelawat antarabangsa secara langsung membina kesedaran tentang nilai warisan Sarawak yang halus dan eksklusif di samping membuka peluang kepada rakan penyulam lain untuk turut serta dalam gelombang pemerkasaan ini.

“Harapan saya agar acara seumpana ini dianjurkan lagi. Saya harap kita bantu penyulam lain sebab ramai lagi yang hebat. Kita naik sama-sama, untuk martabatkan warisan Sarawak,” tambah Fatimah.

Bagi usahawan tempatan seperti Catherine dan Fatimah penganjuran program seumpama ini bukan sahaja wajar diteruskan, malah dilihat sebagai pemacu utama memperluas jaringan niaga dan memperkenalkan lebih ramai penggiat kraf tempatan, sekali gus mengangkat ekonomi komuniti dan seni warisan sarawak secara bersama.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof

PENGANJURAN INKLUSIF, MANFAAT MELUAS

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan penganjuran program bersempena dengan kepengerusian Malaysia untuk ASEAN kali ini bukan terhad kepada Putrajaya atau Kuala Lumpur semata-mata, sebaliknya diperluas ke negeri-negeri lain sebagai pendekatan inklusif dan berimpak tinggi.

Ini dibuktikan dengan pemilihan Kuching, Sarawak sebagai lokasi mengadakan SOME KE-43.

“Biasanya semua program kebanyakan difokuskan di Kuala Lumpur ataupun Putrajaya. Tetapi kali ini pendekatan yang dibuat oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ialah untuk melibatkan setiap negeri supaya turut merasai bahawa ASEAN ini bukan milik Kuala Lumpur atau Putrajaya, tetapi seluruh negara,” jelasnya.

Menurut beliau, pemilihan Sarawak untuk penganjuran SOME ke-43 bukan sahaja kerana keunikan budaya dan etniknya, tetapi juga kerana rekod Sarawak sebagai antara peneraju tenaga bersih dan tenaga boleh diperbaharui sejajar dengan visi masa depan ASEAN.

“Sarawak dipilih bukan sahaja disebabkan keunikan budaya dan masyarakat yang lebih daripada 33 kumpulan etnik, tetapi juga disebabkan negeri ini di hadapan dalam kelestarian alam sekitar dan membekalkan tenaga hijau sereta tenaga bersih di Malaysia,” ujarnya.

Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Tenaga ASEAN (SOME) ke-43 di Kuching, Sarawak.

Secara keseluruhan, penganjuran ASEAN dilihat bukan sahaja memperkukuh hubungan serantau, tetapi turut menjadi pemangkin kepada kebangkitan ekonomi usahawan kecil dan sederhana sekali gus mengangkat kraf tempatan sebagai warisan yang kini melangkah gagah ke pasaran serantau.

Ia jelas membawa pendekatan yang lebih inklusif dan menyeluruh yang bukan sahaja mengenai ekonomi dan tenaga serantau tetapi memperkasa setiap lapisan masyarakat untuk sama-sama membangun ekonomi menerusi pelbagai sudut .

Untuk rekod, SOME ke-43 yang diadakan selama tiga hari dari 16 hingga 18 Jun di Kuching melibatkan pegawai-pegawai kanan sektor tenaga dari 10 negara ASEAN serta rakan dialog seperti China, Jepun, Republik Korea dan Kesatuan Eropah.

Negara anggota terlibat ialah Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Lao PDR, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, manakala Timor-Leste turut hadir sebagai pemerhati.

Kira-kira 250 perwakilan menghadiri mesyuarat itu, termasuk pegawai kanan tenaga, wakil Sekretariat ASEAN, Pusat Tenaga ASEAN serta negara-negara rakan dialog.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan