BINTANGOR, 25 Jun: Seorang lelaki berusia 35 tahun cedera selepas lori yang dipandunya terbabit dalam kemalangan kendiri di Jalan Tulai, di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.06 pagi.
Menurut beliau, sepasukan anggota dari BBP Bintangor telah digerakkan ke lokasi sejurus menerima makluman mengenai kejadian tersebut.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati seorang lelaki tersepit pada bahagian kaki selepas lori yang dipandunya terbabas sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata pasukan bomba bertindak menggunakan peralatan khas iaitu power unit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.
“Operasi mengeluarkan mangsa berjalan lancar dan mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan sedar sebelum diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambah Mahmudin, kerja-kerja pembersihan serpihan kemalangan turut dijalankan bagi memastikan laluan selamat digunakan pengguna jalan raya lain.
Punca kejadian masih dalam siasatan dan mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan menuju ke Sibu ketika kemalangan berlaku sekitar jam 9.00 pagi. – TVS