KUCHING, 25 Jun: Kerajaan Sarawak meluluskan geran khas berjumlah RM13.7 juta bagi menyokong penubuhan dan pengoperasian Kelab Pencinta Alam Sekitar (Kelab PALS) di semua sekolah di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, peruntukan itu bertujuan memperkasa agenda pendidikan alam sekitar serta mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap kelestarian alam dan penglibatan generasi muda dalam usaha melindungi bumi.
“Geran ini diperuntukkan bagi memastikan setiap sekolah rendah dan menengah di Sarawak mempunyai platform pendidikan alam sekitar yang berkesan melalui penubuhan Kelab PALS,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh pada majlis perasmian Bengkel Train The Trainers Pendidikan Alam Sekitar di sini, hari ini.
Menurutnya, Kelab PALS menjadi saluran utama pelajar melibatkan diri dalam aktiviti berfokuskan kelestarian seperti program pembersihan pantai, penanaman pokok serta kempen kesedaran berkaitan perubahan iklim dan pemuliharaan biodiversiti.
Beliau berkata, dana tersebut membolehkan pihak sekolah menyediakan kemudahan dan sumber mencukupi bagi melaksanakan pelbagai program kelestarian, termasuk pembelian peralatan aktiviti, bahan pembelajaran serta penganjuran aktiviti luar bilik darjah yang memberi impak langsung kepada pelajar.
“Kerajaan menyasarkan penubuhan Kelab PALS di semua sekolah menjelang 2030 sebagai persiapan jangka panjang melahirkan generasi muda yang peka terhadap cabaran perubahan iklim dan menyumbang ke arah menjadikan Sarawak sebagai negeri rendah karbon menjelang 2050,” katanya.