KUCHING, 25 Jun: Penubuhan Kelab Pencinta Alam Sekitar (Kelab PALS) oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) sejak 1999 disifatkan sebagai langkah proaktif dalam memupuk kesedaran alam sekitar dalam kalangan generasi muda.
Controller Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Datu Jack Liam berkata kelab tersebut digerakkan selaras peruntukan Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREO) 1958 dengan matlamat meningkatkan kesedaran awam dalam usaha mengurus dan memelihara alam sekitar.
“Sehingga tahun ini, sebanyak 586 Kelab PALS telah ditubuhkan di seluruh Sarawak dan NREB menetapkan sasaran untuk mewujudkan kelab ini di semua sekolah menjelang 2030.
“Sasaran ini mencerminkan komitmen berterusan untuk melahirkan generasi muda yang peka terhadap isu alam sekitar serta mampu menjadi agen perubahan dalam komuniti masing-masing,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Bengkel Pendidikan Alam Sekitar untuk guru penasihat Kelab PALS peringkat negeri, di sini hari ini.
Beliau berkata, kejayaan pelaksanaan Kelab PALS bergantung kepada peranan aktif guru penasihat yang bukan sahaja bertindak sebagai mentor, tetapi juga sebagai penggerak dalam menyampaikan ilmu serta kemahiran pemuliharaan alam sekitar kepada pelajar.
Sehubungan itu, katanya, NREB mengambil inisiatif menganjurkan bengkel khas bagi memperkasakan guru penasihat dengan kemahiran pentadbiran dan pengurusan kelab serta pelaksanaan aktiviti yang relevan dan berimpak.
“Melalui latihan secara praktikal, guru-guru lebih bersedia melaksanakan program yang berkesan sekali gus menggalakkan penyertaan pelajar dalam aktiviti berteraskan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Menurutnya, bagi memastikan kelab dapat beroperasi dengan lancar, kerajaan negeri menerusi NREB memperuntukkan dana sebanyak RM2,000 kepada setiap sekolah yang ingin menubuhkan Kelab PALS.
Dana itu katanya, boleh digunakan bagi pembelian bahan pendidikan, peralatan aktiviti dan penganjuran acara berkaitan alam sekitar pada peringkat awal penubuhan.
Seramai 108 guru penasihat dari seluruh negeri menyertai bengkel yang diadakan sempena program berkenaan. – TVS