KOTA SAMARAHAN, 25 Jun: Lori dipandu hilang kawalan dipercayai menjadi punca kemalangan yang mengorbankan pemandunya sebelum bertembung dengan pikap di Kilometer 19 Jalan Datuk Mohd Musa di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Damataries Lautin berkata dalam kejadian jam 3.30 petang itu, lori terbabit dari arah Kota Samarahan menghala ke Batu Kitang.
“Ketika melalui lokasi kejadian dan sedang bergerak melalui selekoh, tiba-tiba pemandu telah hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.
“Akibat daripada itu lori berkenaan telah bertembung dengan pikap yang dipandu lelaki warga emas berusia 61 tahun yang sedang bergerak lurus dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, akibat kejadian itu, pemandu lori, Lee Ah Lok yang juga warga emas berusia 71 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 4 petang.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak, Kuching manakala pemandu pikap tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kenderaan terlibat dalam kemalangan dibawa ke Balai Polis Trafik Kota Samarahan untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-TVS