KUCHING, 24 Jun: Sebanyak 12 sekolah di Sarawak mencatat pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 apabila merekodkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) melebihi 3.00.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli berkata sekolah terbabit ialah SMK Sacred Heart, SMK Chung Hua, SMK Bandar Sibu, SMK Rosli Dhoby, SMK Methodist dan SMK Tung Hua di Sibu; manakala di Kuching merangkumi SMK Green Road, SMK Bako.
Di Miri sekolah tersenarai ialah SMK Merbau, SMK Chung Hua dan Kolej Datu Tuanku Haji Bujang serta SMK Saribas (Betong).
“SMK Sacred Heart, Sibu muncul antara yang paling cemerlang apabila dinobatkan sebagai Pusat Tingkatan Enam Terbaik peringkat kebangsaan bagi Mod 2 dan Mod 3, menjulang nama Sarawak ke peringkat tertinggi dalam senarai sekolah terbaik negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Keputusan Sijil Tertinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 di Yayasan Sarawak di sini, hari ini.
Seramai 92 calon STPM Sarawak berjaya memperoleh PNGK 4.00 pada tahun ini, meningkat berbanding 88 calon pada 2023, manakala 5717 calon yang hadir menduduki peperiksaan layak dianugerahkan sijil penuh.
Secara keseluruhan, PNGK purata negeri Sarawak bagi STPM 2024 adalah 2.68, dengan 27.46 peratus calon mencapai PNGK antara 3.00 hingga 3.74.
Pelajar SMK Sungai Merah, Sibu, Kong Wei Hang turut mengharumkan nama Sarawak apabila dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik STPM 2024 Aliran Sains dan menerima penghargaan rasmi daripada Majlis Peperiksaan Malaysia.