PUTRAJAYA, 24 Jun: Malaysia merekodkan kadar inflasi serendah 1.2 peratus pada Mei 2025, yang terendah dalam tempoh 51 bulan dengan mata indeks sebanyak 134.4 berbanding 132.8 pada Mei tahun lepas.
Menurut kenyataan media Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penurunan kadar inflasi ini selari dengan trend global terutamanya di kalangan negara ekonomi terbuka.
Negara-negara lain seperti Eurozone (1.9%), Korea Republik (1.9%), Indonesia (1.6%) dan Filipina (1.3%) turut mencatat kadar inflasi yang rendah sejajar dengan harga minyak dunia yang rendah.
Penurunan inflasi ini didorong oleh prestasi Indeks Harga Pengeluar (IHPR) bagi pengeluaran tempatan yang menurun sebanyak 3.4 peratus pada April 2025 di mana Sektor Perlombongan menjadi penyumbang utama penurunan tersebut.
Laporan yang menyatakan penurunan ketara sebanyak 17.8 peratus itu boleh difaktorkan kepada kejatuhan harga Pengekstrakan Petroleum Mentah (-19.8%).
Sementara itu, kumpulan Makanan & Minuman yang mewakili 29.8 peratus daripada keseluruhan IHP mempunyai peningkatan perlahan kepada 2.1 peratus, 0.2 peratus berbanding bulan lepas (2.3%).
Beberapa kumpulan yang turut menunjukkan peningkatan yang perlahan pada bulan ini termasuklah Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan; 3.7% (April: 4.1%) , Pendidikan; 2.2% (April: 2.3%), Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain; 1.7% (2.0%), Rekreasi, Sukan & Kebudayaan; 0.9% (April: 1.3%) dan Minuman Alkohol & Tembakau; 0.6% (0.8%).
Namun, peningkatan untuk Kumpulan Pengangkutan (0.7%) dan Insurans & Perkhidmatan Kewangan (1.5%) masing-masing masih pada kadar yang sama dengan bulan sebelumnya.
Pada masa yang sama, kumpulan-kumpulan yang mencatat peningkatan lebih banyak berbanding April lepas termasuk Restoran & Perkhidmatan; 3.0% (April: 2.9%), Kesihatan; 1.1% (April: 0.9%) dan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah; 0.2% (April: 0.1%).
Manakala Maklumat & Komunikasi (-5.2%) dan Pakaian & Kasut (-0.2%) kekal mencatat kadar negatif.
Jelas Ketua Perangkawan Malaysia, Dato Sri Mohd Uzir Mahidin, sebanyak 11 negeri merekodkan kadar inflasi di bawah paras nasional dengan Kelantan mencatatkan kadar paling rendah iaitu 0.3 peratus.
Lima negeri yang mencatatkan ladar lebih tinggi pula adalah Johor (1.8%), Negeri Sembilan (1.6%), Selangor (1.5%), Melaka (1.5%) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.4%).
Tambah beliau, 59.7 peratus daripada 573 item yang dipantau mencatat kenaikan harga.
Namun, 96.5 peratus daripada item tersebut meningkat kurang atau sama dengan 10 peratus, manakala hanya 12 item menunjukkan kenaikan melebihi 10 peratus pada bulan ini.
Berbanding bulan lepas, inflasi keseluruhan secara bulanan mencatatkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus dan kumpulan yang menyumbang kepada kenaikan ini termasuk Restoran & Perkhidmatan Penginapan (0.4%), Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (0.3%).
Untuk rekod, Malaysia turut mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa apabila dinobatkan tangga pertama antara 198 negara dalam laporan dwi-tahunan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25.
Dengan itu, kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan 20 Oktober sebagai Hari Statistik Negara (MyStats Day), tarikh yang sama untuk Hari Statistik Dunia Keempat yang bertema ‘Driving Change with Quality Statistics and Data for Everyone’. – TVS