JERMAN: Atlet para Sarawak berjaya mengutip 11 pingat daripada 12 acara yang disertai dalam kejohanan Northeastern Atlet Para sempena program kolaborasi Jerman-Sarawak yang diadakan di pusat sukan Cottbus, Brandenburg pada Sabtu.
Atlet lontar peluru, Jap Soon Hung, mempamerkan aksi memukau apabila lontarannya mencatatkan jarak 8.27 meter, sekali gus memecahkan rekod kebangsaan yang dicatatkan pada temasya Para SUKMA lalu.
Sarawak sekali lagi mencipta kejutan menerusi Richard Bada yang berjaya memenangi pingat emas dalam acara cakera F41.
Kejayaan itu turut menjadi kenangan manis buatnya apabila lontaran sejauh 25.51 meter itu merupakan catatan terbaik peribadi sepanjang kariernya dalam acara tersebut.
Pingat emas ketiga dirangkul oleh Siti Zubaidah dalam acara lembing F13 dengan lontaran terbaik peribadi iaitu 22.50 meter, diikuti kejayaan Nur Farhani yang memenangi acara 200 meter T47 dengan catatan masa terbaik peribadi iaitu 30.03 saat.
Terdahulu, seramai 13 orang menyertai delegasi lawatan ke Jerman dalam usaha menjalin kerjasama antara Sarawak dan Jerman dalam pembangunan sukan di Sarawak.
Lawatan tersebut turut memberi peluang kepada para atlet untuk menjalani latihan bersama jurulatih Jerman yang berpengalaman.
Rata-rata peserta lawatan merupakan atlet para Sarawak yang cemerlang pada temasya Para SUKMA baru-baru ini, yang menyaksikan kontinjen Sarawak memenangi 33 pingat emas, 24 perak dan 37 gangsa pada edisi ke-21 temasya tersebut.
Pengalaman sepanjang dua minggu bermula 16 Jun lalu di Jerman dijangka menjadi persiapan akhir menjelang Kejohanan Para-Atletik Kebangsaan di Kuantan, Pahang dari 26 hingga 29 Jun ini.-TVS