KUANTAN 23 Jun: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas pemergian isterinya, awal pagi tadi.
Baginda berdua menerusi hantaran di Facebook hari ini mendoakan agar roh Allahyarham Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
“Baginda berdua juga berharap agar segala urusan keluarga Allahyarham dipermudahkan serta tabah di atas kehilangan insan yang tersayang,” menurut hantaran itu.
Juma’ani, 76, meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta pada 3.34 pagi dan jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Petra Jaya di sini pada 1.52 tengah hari.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pemergian Juma’ani semestinya memberi kesan yang mendalam buat Premier Sarawak dan keluarga.
“Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya yang turut mengucapkan takziah menerusi hantaran di laman Facebooknya. -TVS