Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Christina Liew (tengah) bersama Pengarah JHL Mohd Soffian (kanan) dan Jeanette Chong (kiri) semasa taklimat projek filem AABS di pejabat KePKAS. Foto KePKAS

Filem ‘Agatis: A Borneo Story’ bakal dirakam di Sabah

KOTA KINABALU, 23 Jun: Dua anak yatim dari dunia berbeza, seorang budak lelaki hilang dan seekor anak gajah pygmy bertemu di rimba magikal Borneo, membina ikatan yang tidak terduga dan akhirnya terjerumus dalam perjuangan menyelamatkan spesies terancam daripada pemburu haram yang tamak.

Itulah nadi cerita filem ‘Agatis: A Borneo Story’ (AABS), sebuah produksi tempatan berdurasi 90 minit yang dijangka memulakan penggambaran pada Ogos ini di Kinabatangan. Ia bakal mencipta sejarah sebagai filem pertama di Malaysia dirakam berhampiran gajah pygmy Borneo dengan pemantauan Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL).

Diterbitkan oleh Mondo Ab Films dan diarahkan oleh anak jati Sabah, Jeanette Chong Tze Ling, filem ini mengetengahkan dua bintang istimewa: Agatis dan Aki, anak gajah dari Borneo Elephant Sanctuary (BES), dalam sebuah kisah yang sarat dengan mesej alam, kehilangan, dan keberanian.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata, pihaknya menyokong penuh produksi ini kerana potensinya sebagai pemacu pelancongan berasaskan alam serta wadah mendidik masyarakat tentang kepentingan pemuliharaan.

“Kami akan membantu sebaik mungkin. Ini peluang untuk menonjolkan keunikan Sabah dan haiwan ikonik negeri ini,” katanya selepas menerima taklimat daripada Chong bersama Pengarah JHL, Mohd Soffian Abu Bakar.

Menurut Chong, inspirasi filem tercetus selepas pertemuannya dengan Jibius Dausip pada 2023 — penjaga BES yang dikenali sebagai ‘Elephant Whisperer’ dan melihat interaksi luar biasa antara beliau dan Agatis.

“Hubungan mereka sangat menyentuh hati. Ketika itu saya tahu kisah ini wajar diangkat ke layar perak,” katanya.

Jibius telah hampir tiga dekad berkhidmat dalam pemuliharaan gajah Borneo dan dikenali kerana kemampuannya menjalin kepercayaan dengan haiwan liar yang tercedera dan yatim piatu.

Chong turut menjelaskan bahawa Sandakan dipilih sebagai lokasi uji bakat kerana jaraknya yang dekat dengan BES.

“Kami mahu pelakon utama, khususnya kanak-kanak, membina hubungan sebenar dengan Agatis sebelum kamera mula merakam. Ia penting untuk menyampaikan emosi yang jujur,” katanya.

Uji bakat terbuka akan diadakan pada Julai dengan penglibatan komuniti tempatan serta NGO sekitar kawasan produksi.

Penggambaran dijangka bermula pada pertengahan Ogos. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan