KUCHING, 23 Jun: Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tuanku Bujang disifatkan sebagai seorang yang gemar bergurau sambil menasihati, selain menjadi sumber motivasi serta memberikan pandangan yang bernas dalam usaha memperkasa golongan wanita di Sarawak.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, Datu Dr Sabariah Putit berkata, beliau amat berduka dengan pemergian isteri kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu yang merupakan kehilangan besar, khususnya kepada golongan wanita di negeri ini.
“Saya amat terharu dan sedih kerana ini merupakan satu kehilangan besar bagi kami, terutamanya wanita-wanita di Sarawak. Sepanjang bersama Allahyarhamah, beliau banyak bergurau sambil memberi nasihat agar kami lebih bijak menguruskan hal-hal pekerjaan harian.
“Beliau juga sentiasa memberikan motivasi dan pandangan membina untuk kami meneruskan usaha serta sumbangan dalam memperkasakan masyarakat, khususnya para wanita di Sarawak,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Dr Sabariah turut merakamkan ucapan takziah dan doa buat Allahyarhamah.
“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Semoga Allah mengampuni segala dosa Allahyarhamah, menerima segala amalannya, mengangkat darjatnya di sisi Allah, serta menjadikan pemergiannya sebagai kerehatan sebenar daripada urusan dunia.
“Semoga beliau dilindungi daripada seksa kubur dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan soleh,” katanya.
Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani merupakan seorang tokoh wanita yang disegani di Sarawak, dan aktif dalam bidang kebajikan serta sosial, termasuk melalui kepimpinannya sebagai Presiden Persatuan Isteri-Isteri Menteri dan Menteri Muda Sarawak (SABATI).
Terdahulu, Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Normah, Kuching pada jam 3.34 pagi tadi, pada usia 76 tahun. – TVS