KUCHING, 23 Jun: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menzahirkan takziah kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas pemergian isteri tercinta, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.
Dalam kenyataan ringkas yang dikongsi di Facebook, Perdana Menteri menyampaikan rasa dukacita yang mendalam atas kehilangan tersebut, sambil menzahirkan sokongan moral kepada Abang Johari dan seluruh keluarga.
“Seluruh ingatan kami pada keluarga Allahyarhamah, terutama buat Abang Johari yang baru saya temui semalam. Moga terus sabar dan tabah menerima ujian ini,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar roh Allahyarhamah diampunkan segala dosa dan dikurniakan tempat yang istimewa di sisi Allah SWT.
“Kami sekeluarga menitipkan doa semoga roh Allahyarhamah diampunkan segala dosanya dan dikurniakan tempat yang istimewa di sisi-Nya. Al-Fatihah,” tambah Anwar.
Allahyarhamah Puan Sri Juma’ani dikenali sebagai seorang tokoh wanita yang aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan pembangunan masyarakat, khususnya dalam memartabatkan budaya serta warisan Sarawak.
Pada Oktober 2018, beliau menerima gelaran Datuk Amar, Darjah Utama Bintang Kenyalang Sarawak, penghormatan tinggi negeri bagi sumbangan beliau dalam bidang sosial dan komuniti.
Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Normah, Kuching pada jam 3.34 pagi tadi, pada usia 76 tahun. – TVS