KUCHING, 22 Jun: Sebuah bangunan di Miri kini sedang dalam proses pengubahsuaian untuk dijadikan Pusat Sehenti Intervensi Awal (OSIEC) yang akan memberi perkhidmatan penilaian dan diagnosis kepada kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pusat berkenaan merupakan OSEIC ketiga selepas dua pusat sedia ada di Matang dan Dalat.
“Insya-Allah, berdasarkan keperluan dan statistik daripada Jabatan Kesihatan, kita akan buka dan perluaskan lagi perkhidmatan OSEIC ke bahagian lain.
“Kita mahu memastikan anak-anak OKU dan ibu bapa mereka mendapat akses diagnosis awal dan intervensi yang sewajarnya,” katanya semasa berucap pada program Juh Daftar OKU di sebuah pusat beli-belah di Petra Jaya, hari ini.
Fatimah berkata, Kerajaan Sarawak komited untuk terus memperkasa golongan OKU agar mereka berdaya saing dan berpeluang menyerlahkan bakat masing-masing setanding individu normal.
Menurutnya, antara usaha yang dijalankan termasuk pemberian geran kepada golongan OKU dalam bidang sukan, pendidikan dan pembangunan bakat.
Beliau turut menyeru ibu bapa agar memberi peluang dan sokongan kepada anak-anak OKU untuk meneroka bidang diminati.
“Kita sudah ambil dua individu OKU yang tamat pengajian di universiti. Salah seorang kini berkhidmat di kementerian kami dan turut bergiat aktif sebagai atlet Para SUKMA dalam acara badminton,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap KPWK, Nur Alina Abdullah dan Timbalan Pengarah JKM Sarawak, Nor Hayati Abdul Rahman.-TVS