SARATOK, 22 Jun: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan dan Penyelarasan bagi menangani kelewatan pelaksanaan projek khususnya akibat isu teknikal serta pertindihan kuasa antara agensi.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang yang berperanan menyelaras serta mempercepat pelaksanaan projek pembangunan luar bandar.
“Penubuhan jawatankuasa ini adalah inisiatif strategik KKDW selepas kita dapati banyak projek mengalami kelewatan, terutamanya disebabkan isu pemilikan tanah dan masalah teknikal lain,” katanya selepas Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Kampung Kupang ke Simpang Jalan Bajau di Rumah Panjang Rengan, hari ini.
Beliau berkata, penyelarasan yang lebih baik bersama agensi Kerajaan Sarawak juga amat penting khususnya di wilayah ini yang mempunyai agensi sendiri bagi pengurusan projek.
“Saya yakin, dengan penyelarasan lebih sistematik, pelaksanaan projek dapat dipercepatkan dan manfaatnya dapat segera dinikmati rakyat,” ujarnya.-TVS