TAWAU, 22 Jun: Sebuah rumah dan sebuah kereta Perodua Myvi musnah dalam kebakaran yang berlaku berhampiran kawasan Checkpoint Tawau-Kunak awal pagi tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak menerima panggilan kecemasan pada jam 12.22 tengah malam.
Enam anggota dengan dua jentera, satu FRT dan satu EMRS dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 39 kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK I KUP Kamalrulzaman Roslie berkata, pihaknya mendapati struktur rumah jenis tidak kekal berkeluasan 40×40 kaki sedang terbakar sepenuhnya setibanya mereka di lokasi.
“Sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi turut terbakar 100 peratus dalam insiden ini. Tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya.
Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan satu pancutan dari sumber air jentera bomba.
Api dapat dikawal pada jam 1.05 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya sekitar jam 2.07 pagi selepas pemeriksaan lanjut memastikan tiada lagi bahaya. -TVS